Saturday, March 17, 2012

Sejarah Negeri Sembilan

Sumber dari http://facebookaans.blogspot.com/2012/02/sejarah-negeri-sembilan.html
 
Sejarah Negeri Sembilan merupakan satu bahagian yang menarik dalam sejarah perkembangan kebudayaa n dan politik Malaysia. Sebelum pertengahan kedua abad ke 18, Negeri Sembilan sebagai satu identiti politik belum lagi ujud. Ia ujud hanya sesudah perlantikan Raja Melewar kira-kira pada tahun 1773 sebagai Yamtuan bagi negeri ini. Negeri-negeri yang mengujudkan Negeri Sembilan itu terdiri dari Sungai Ujong, Rembau, Johol, Jelebu, Naning, Segamat, Ulu Pahang, Jelai dan Kelang. Pengaruh Inggeris di negeri ini bermula pada tahun 1844, tetapi pada peringkat ini pengaruh mereka hanya terbatas kepada beberapa luak yang tertentu sahaja.

Campurtangan Inggeris secara aktif ke atas Negeri Sembilan bermula ketika meluasnya keperluan bijih timah dalam perkembangan ekonomi dunia pada pertengahan abad ke 19, dan Negeri Sembilan merupakan antara tempat-tempat yang menyediakan bahan mentah ini. Dalam hal ini, Inggeris telah mengambil kesempatan dari pertentangan yang berlaku antara Datuk Klana dan Datuk Bandar di Sungai Ujong mengenai hak dan kuasa ke atas perusahaan bijih timah yang menggunakan Sungai Linggi. Walaupun campurtangan Inggeris ini mendapat pertentangan yang hebat, tetapi kekuatan yang ada di Negeri Sembilan tidak dapat menahan kemaraan kekuasaan Inggeris itu. Pada tahun-tahun berikutnya campurtangan Inggeris semakin meluas hingga ke seluruh Negeri Sembilan. Dengan ini bermulalah proses pembaratan dan proses migrasi orang-orang Cina dan India ke negeri ini, hingga mengujudkan masyarakat majmuk di Negeri Sembilan.

Pembentukan Negeri Sembilan seperti yang ada sekarang adalah berasal dari satu perjanjian yang telah ditandatangani pada tahun 1885 diantara Gobernor Negeri-Negeri Selat bagi pihak Kerajaan Inggeris dengan Yamtuan Seri Menanti dan penghulu-penghulu luak kawasan ini, membentuk sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan. Satu lagi perjanjian telah dibuat pada tahun 1898 antara Yamtuan Seri Menanti, Tuanku Muhammad dengan Datuk-Datuk Undang Yang Empat kerana melantik baginda sebagai pemerintah bagi seluruh Negeri Sembilan dengan gelaran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pada tahun itu jugalah Residen Inggeris yang pertama bagi Negeri Sembilan, E.W.Birch telah dilantik.

Walaupun pengaruh Inggeris telah mengujudkan masyarakat majmuk di negeri ini, dengan penduduk-penduduk berbagai kaum itu terpisah oleh sebab-sebab tempat kediaman, bahasa, adat-resam, dan cara kehidupan sosial hari-hari,namun selepas Malaysia (sebelum itu Persekutuan Tanah Melayu) mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957, keadaan ini sedikit demi sedikit berubah. Usaha-usaha ke arah membentuk perpaduan kaum dijalankan dan sekarang penduduk di Negeri Sembilan, seperti juga di negeri-negeri lain di Malaysia, adalah hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai.

Dua tahun selepas kemerdekaan ini, Negeri Sembilan telah membentuk sebuah perlembagan baharu yang dinamakan "UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN NEGERI SEMBILAN 1959", yang membolehkan penubuhan sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan sebuah Dewan Undangan Negeri.

Pemerintah bagi Negeri Sembilan dikenali sebagai Paduka Seri Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, dan baginda adalah dipilih dari kebulatan muafakat antara Datuk-Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. Paduka Seri Tuanku menjadi sebagai Ketua Ugama Islam dalam negeri ini, dan menjalankan tugasnya, baginda dinasihati oleh sebuah Majlis Hal Ehwal Ugama Islam. Dalam hal-hal berhubung dengan adat istiadat Melayu dan Agama Islam.

Negeri Sembilan juga dibahagikan kepada 5 kawasan pentadbiran adat yang dikenali sebagai Luak. Masing-masing luak diketuai oleh seorang Datuk Undang yang bertaraf sebagai pemerintah bagi luaknya. Luak-luak tersebut ialah Sungai Ujong, Jelebu, Johol, Rembau, dan Tampin, sementara Tanah Mengandung Seri Menanti adalah di bawah kekuasan Paduka Seri Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan. Berdasarkan namanya Negeri Sembilan kita melihat kelainan atau keunikannya yang tersendiri. Ianya berasal dari istilah Minangkabau "nagari" yang bermaksud penempatan yang mengandungi beberapa buah "koto" mungkin bererti "kampung". Istilah "nagari" itu mungkin diubahsuai penggunaannya oleh orang setempat apabila meneroka ke sini, agar sesuai dengan keadaan negeri-negeri Melayu lain, ataupun disalah terjemahkan oleh penjajah barat apabila mereka sampai ke sini sejak tahun 1511. Jadi, nama Negeri Sembilan itu bermaksud gabungan sembilan buah penempatan atau "nagari".

No comments: