Zaman Prasejarah
Malaysia terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, yang merupakan bahagian paling selatan benua Asia, dan negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Utara Pulau Borneo, yang terletak ke arah timur sejauh 530 kilometer di seberang Laut China Selatan.
Tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400, yang merupakan tarikh yang kebiasaannya digunakan sebagai permulaan era sejarah negara. Namun, tempoh prasejarah yang panjang ini kurang mendapat perhatian kerana kebanyakan penulisan yang sedia ada tertumpu kepada kehebatan Melaka.
Kerja-kerja penyelidikan berkenaan sejarah awal di Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh dua faktor yang utama, iaitu keadaan fizikal geografinya dan keadaan cuaca. Para penyelidik lebih cenderung menumpukan kajian mereka samada di Semenanjung atau pun di sekitar Sabah dan Sarawak sahaja, dan ini mengakibatkan hasil kajian yang tidak menyeluruh tentang tempoh prasejarah negara Malaysia. Keadaan cuaca yang begitu panas terik dan hutan hujan yang tebal tidak banyak meninggalkan artifak-artifak dari tempoh awal ini, selain daripada barangan tembikar tanah dan perkakas-perkakas yang diperbuat daripada batu dan besi. Kebanyakan artifak tersebut, termasuk kawasan perkuburan, telah ditemui di ruang yang terlindung di dalam gua-gua. Satu-satunya peninggalan binaan yang masih boleh dilihat adalah batu-batu asas bangunan yang dibina semasa era kerajaan purba di Kedah dan di Santubong, Sarawak di sekitar abad ke-5 sehingga abad ke-13.
Bukti terawal penempatan manusia di Sarawak adalah merupakan sebuah tengkorak yang berusia 38,000 tahun yang ditemui di Gua Niah, manakala bagi kawasan Semenanjung pula merupakan sebuah rangka yang berusia 11,000 tahun yang ditemui di Gua Gunung Runtuh di Perak. Artifak yang tertua adalah merupakan sebuah bangku batu zaman Paleolitik dari Kota Tampan, Perak yang berusia 34,000 tahun, manakala artifak tertua dari kawasan Borneo pula adalah alatan batu di Tingkayu, Sabah yang dihasilkan di antara 18,000 hingga 28,000 tahun dahulu. Cara hidup berburu dan mengumpul makanan telah berubah dengan begitu dramatik sekali di sekitar 5,000 tahun dahulu berikutan dengan penemuan kaedah bagi menghasilkan perkakas batu yang digilap dan barangan tembikar tanah. Bukti-bukti penghidupan dari zaman Neolitik boleh ditemui di kawasannya sendiri, atau di kawasan-kawasan Mesolitik, termasuklah di Gua Niah di Sarawak, Gua Cha di Kelantan dan Gua Kechil di Pahang.
Kawasan-kawasan dari Zaman Logam di Semenanjung juga tertumpu di bahagian utara, melainkan penemuan sebuah loceng yang diperbuat dari gangsa di Muar, Johor. Penemuan-penemuan di bahagian pantai timur pula tertumpu di kawasan-kawasan yang mempunyai sumber emas, manakala di pantai barat pula adalah berdekatan kawasan sumber bijih timah. Kehidupan di Zaman Logam juga dapat dilihat melalui pelbagai barangan yang diperbuat daripada besi seperti sebuah alat berbentuk batang yang panjang yang dikenali dalam kalangan orang Melayu sebagai tulang mawas dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia. Penemuan barangan gangsa dari Utara Vietnam membuktikan wujudnya pelayaran jarak jauh dan seterusnya menghasilkan hubungan perdagangan laut dengan penempatan lain di Asia Tenggara. Manik-manik daripada India yang ditemui di kawasan-kawasan Zaman Logam seperti di Kuala Selinsing (200 SM – 900 M) dan Changkat Menteri (1 – 800 M) di Perak adalah bukti terdapatnya juga hubungan dagangan dengan Asia Selatan.
No comments:
Post a Comment