Selepas ditawan, Melaka berfungsi sebagai pengkalan untuk menghalang musuh Belanda dari memasuki Selat Melaka dan juga merupakan pusat pengumpulan hasil dari Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya bijih timah. Belanda tidak memberi tumpuan kepada Tanah Melayu dan sepanjang pemerintahan mereka, kerajaan Johor-Riau, yang merupakan sekutu Belanda, dibiarkan menjadi lemah. Sehingga tahun 1800, kesemua negeri-negeri yang bernaung di bawah kerajaan ini keluar dari naungan Sultan Johor dan mengisytiharkan negeri mereka merdeka. Sebagai ahli perniagaan dan pedagang, orang Belanda tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap pesaingnya. Oleh kerana sikap yang demikian, pedagang-pedagang China mula mengubah haluan perdagangan mereka dan hasilnya, kemajuan yang sekian lama melimpahi Melaka mula merosot begitu juga jumlah penduduknya.
Kebebasan Beragama
Kebebasan beragama merupakan faktor utama yang mengekalkan keharmonian sosial semasa pemerintahan Kesultanan Melayu. Sebaliknya, Portugis mengharamkan sebarang amalan agama selain daripada Katolik Rumawi. Pihak Belanda pula tidak begitu tegas tentang anutan agama penduduk dan mengamalkan toleransi dalam perkara ini. Walau bagaimanapun, mereka menentang amalan agama Katolik Rumawi sehingga tahun 1695, kerana sistem yang diamalkan di Eropah, menggabungkan urusan kerajaan dengan ajaran agama.
No comments:
Post a Comment