Monday, December 12, 2011

Pendidikan dan komunikasi di Malaysia

Pendidikan
Kemajuan dalam pendidikan adalah perlahan, tetapi masih mantap. Sekolah-sekolah Inggeris dibina oleh Kerajaan di kebanyakan bandar. Selain itu, ada juga sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh Pergerakan Kristian seperti “the Brother’s School dan “the Anglo-Chinese School. Sebuah kolej perubatan dibuka pada tahun 1910 bagi melahirkan doktor perubatan dan doktor gigi tempatan. Manakala Kolej Raffles yang merupakan institut pengajian tinggi dalam bidang seni dan sains telah dibuka pada tahun 1928. Kedua-dua kolej ini merupakan teras kepada Universiti Malaya yang dibuka pada tahun 1949.
  
  Di Negeri-negeri Melayu, sekolah-sekolah Melayu bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan didirikan bagi menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk. Kolej Sultan Idris di Tanjung Malim, yang sekarang dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris, telah menghasilkan ramai tenaga guru untuk sekolah-sekolah tersebut. Bagi kaum India pula, semua ladang-ladang estet perlu menyediakan kemudahan sekolah rendah jenis Tamil bagi anak-anak pekerja estet yang berbangsa India.
Komunikasi
Kerajaan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu berusaha keras untuk membangunkan Malaya dengan pelbagai cara. Malaya bertambah maju, di mana pendapatan bagi Negeri-negeri Selat bertambah lebih lima kali ganda dalam jangkamasa kurang dari empat puluh tahun manakala bagi Negeri-negeri Melayu pula, lebih sembilan kali ganda dalam jangkamasa yang sama. Sebahagian besar daripada pendapatan tersebut digunakan untuk membina sistem perhubungan yang mantap. Jalanraya dan landasan keretapi dibina di seluruh negara bagi menghubungkan kawasan perlombongan dan perladangan dengan persisiran pantai. Pada tahun 1937, jalanraya yang berukuran hampir 9,000 kilometer telah dibina di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, 1,165 kilometer di Negeri-negeri Selat dan 2,500 kilometer di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
  
  Pada tahun 1885, perkhidmatan keretapi yang pertama telah disediakan iaitu dari Taiping ke Port Weld. Pada tahun 1909, perkhidmatan keretapi telah berkembang dari Singapura ke Pulau Pinang. Di samping itu, perkhidmatan feri juga disediakan bagi menghubungkan Prai dan Pulau Pinang. Tambak Johor yang siap dibina pada tahun 1923 telah mengembangkan lagi perkhidmatan keretapi hingga ke Singapura, yang sudah pun mempunyai landasan dari Tank Road ke Bukit Timah yang dibina sejak tahun 1903. Pembangunan infrastruktur perhubungan di timur Malaya agak perlahan, namun pada tahun 1931, perkhidmatan keretapi akhirnya disediakan, menghubungkan Gemas dan Kota Bharu.

No comments: